Mohd Alakhir Bin Brahim

Allahyarham Mohd Alakhir Bin Brahim berasal dari Melaka dan merupakan anak bongsu daripada tujuh orang adik-beradik. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Peringgit Melaka, pendidikan menengah di Sekolah Muzaffar Syah Melaka, program A Level di Kolej MARA Banting, program Diploma Pentadbiran Awam di Universiti Teknologi MARA Melaka dan seterusnya program Ijazah Sarjana Muda Undang¬-Undang dengan Kepujian di Universiti Teknologi MARA Shah Alam. Kehilangan bapanya ketika berusia dua tahun, ibunyalah yang menjadi tulang belakang menyara kehidupan dan membesarkan beliau adik-beradik, yang pada ketika itu masih belajar, dengan pendapatan sebagai pembantu rumah. Malang sekali, ibu yang dicintai pula pergi dijemput Ilahi ketika beliau masih menuntut ilmu untuk mengejar impian sebagai seorang peguam dan tidak sempat meraikan kejayaan beliau ketika menerima segulung ijazah.

Tanpa kedua ibubapa disisi, beliau mendidik dirinya menjadi cekal dan bersemangat kental untuk menjalani hidup sendirian. Berbekalkan prinsip “Stand and Fight”, beliau telah menempuh segala cabaran, mencapai kejayaan, menghadapi kegagalan, jatuh dan bangun semula sehingga berjaya. Laluan yang beliau tempuhi penuh dengan cabaran dan dugaan. Namun begitu, kesusahan yang dihadapi tidak pernah melemahkan semangat beliau. Sebaliknya, beliau menjadi semakin tabah, cekal dan berani untuk menghadapi masa depan.

Beliau percaya sesungguhnya untuk berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi, seseorang itu harus bersikap positif, mempunyai semangat yang tinggi untuk berjaya, berani mencuba apa sahaja tugas yang diberi dengan bersungguh-sungguh, bersedia menerima teguran dan kritikan secara positif dan yang paling utama, meyakini kemampuan diri sendiri. Memiliki sikap merendah diri, baik-hati dan menghormati orang lain, beliau amat disenangi bukan sahaja oleh kaum keluarga, saudara-mara, sahabat-handai malahan orang yang tidak dikenali begitu mudah menerima dan menyayangi beliau.

Memulakan langkah pertama dalam bidang guaman, beliau menjalani latihan di Dennis Nik & Wong pada tahun 2005 di bawah penyeliaan Master Wong Rhen Yen. Sepanjang tempoh latihan tersebut, beliau telah menerima ilmu pengetahuan, tunjuk ajar, nasihat serta pendedahan yang amat luas dan berharga untuk beliau mengorak langkah lebih jauh dalam bidang guaman. Pada tahun 2006 beliau diterima masuk dan didaftarkan sebagai seorang Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya. Dengan berbekalkan iltizam dan integriti, beliau bersedia menghadapi cabaran untuk mencapai banyak lagi cita-citanya yang lain untuk menyumbangkan bakti kepada masyarakat dan negara.

Pada penghujung tahun 2010 beliau melangkah setapak lagi dengan menjadi rakan kongsi apabila menyertai firma guaman Ong Ma & Partners.

Malangnya beliau tidak sempat menyempurnakan semua cita-citanya kerana jatuh sakit ketika kerjaya beliau baru mula berkembang. Dalam waktu yang singkat beliau telah kembali ke rahmatullah pada 5 Mei 2012, tiga bulan sebelum usia beliau mencecah 36 tahun. Kehilangan beliau menjadi kejutan dan sangat dirasai kerana walaupun masih baru di dalam bidang guaman tetapi beliau seorang yang berpotensi untuk melangkah lebih jauh lagi sebagai seorang peguam yang berjaya.

Merenung sejenak petikan kata-kata hikmah yang menjadi pegangan dan kekuatan diri beliau:-

“When the going gets tough, the tough gets going. The path to success is never easy. Sometimes in order to succeed, it matters not what others think and believe, but what matters most is your own thought and belief in yourself. Look at yourself from the outside and know yourself inside out, you will eventually find the one, whole and unbreakable you. Be strong, cling to your faith, never falter in what you believe and keep pressing on steadfastly. You will eventually make it through”.

Beliau pergi meninggalkan adik-beradik dan rakan-rakan karib yang sangat menyayanginya. Apa yang pasti, kami tidak akan pernah berhenti merindui beliau.

Semoga rohnya dicucuri rahmat. Amin.

Written By,
Sajiniah Bte Brahim